Selasa, September 16, 2008

Pendemokrasian BN kena ambil kira suara orang muda

 
 
Berita Harian Online

Pendemokrasian BN kena ambil kira suara orang muda

Oleh Md Shukri Shuib


SELEPAS pilihan raya umum Mac lalu, Barisan Nasional (BN) perlu berubah. Gabungan 13 parti komponen itu perlu 'mengawetmudakan' perjuangannya, sesuai dengan perubahan semasa dan zaman, supaya terus relevan.


Jika dulu, kita melihat Parti Kongres di India diasaskan oleh perjuangan Mahatma Ghandi yang berkuasa lebih setengah abad berjaya ditumbangkan dan begitu juga yang terjadi pada parti Koumintang di Taiwan, kini BN dan komponennya pula diuji.


BN terpaksa berdepan krisis ketidakyakinan pengundi kepada kewibawaan kepemimpinan parti gabungan yang menerajui negara lebih 51 tahun itu. Apakah ini yang sebenarnya berlaku?. Kenapakah ujian seumpamanya diberikan kepada kerajaan yang sudah pun menunjukkan rekod kejayaan yang memberangsangkan?


Fasa konflik pertama sudah dilalui pada Pilihan Raya Umum 1969 hinggakan terjadinya rusuhan kaum paling teruk di negara ini. Mujurlah, atas pertimbangan rasional, walaupun diasak pelbagai cubaan untuk mencetuskan peristiwa sedemikian rupa, kesan Pilihan Raya Umum Ke-12, Mac lalu tidak terbawa-bawa hingga mencetuskan satu lagi peristiwa pahit antara kaum di negara ini.


Namun, hakikat bahawa wujudnya rasa tidak puas hati di antara kaum itu perlu diakui pemimpin di peringkat nasional. Inilah fokus utama BN masa kini. BN tidak harus dihantui oleh sikap ultra perkauman, sama ada Melayu, Cina mahupun India atau bersifat kewilayahan, antara Semenanjung mahupun kepemimpinan dari Sabah dan Sarawak.


Harapan perpaduan untuk terus utuh kini bergantung kepada sejauh mana kesediaan untuk bukan 'mengalah' tetapi bertoleransi, dan semestinya toleransi ini bukan hanya datang dari satu pihak iaitu Umno atau Melayu saja. Sebaliknya, semua komponen BN harus bersedia meneruskan sikap toleransi tanpa ada cubaan memprovokasi mana-mana parti komponen semata-mata mahu dilihat sebagai 'juara' bagi kaum masing-masing.


Jika ini dijadikan tabiat, maka dikhuatiri ia akan menjadi tradisi hingga di dalam BN seolah wujud golongan pemerintah dan satu pihak sebagai golongan 'pembangkang'. Jika ini wujud, maka ia dilihat akan menggugat imej dan keutuhan BN sebagai parti yang mampu membela rakyat.


Pemimpinnya, terutama parti komponen seperti Gerakan dan MCA yang tewas teruk pada pilihan raya umum lalu, seharusnya lebih rasional dan tidak hanya menuding jari kepada Umno, tetapi mereka perlu berusaha memperbaiki imej bagi memulihkan prestasi mereka pada pilihan raya umum akan datang. Jangan jadikan kesan pilihan raya umum lalu semata-mata untuk 'meruntuhkan' setia kawan di dalam BN yang sudah terbina sekian lama.


Bagi pimpinan BN, anggaplah pasca pilihan raya umum ke-12 yang perlu dilalui ini sebagai satu jangka masa 'orientasi' semula, iaitu ia bagi memberikan peluang kepada BN bermuhasabah dan melakukan reformasi untuk kekal relevan.


Kini, dalam suasana yang berlaku menunjukkan BN tidak boleh lagi bersikap alpa dan leka. Proses melestarikan kepemimpinan perlu dilakukan. Pemimpin muda yang berkarisme dan diterima rakyat perlu diberi peluang.


Pendemokrasian BN perlu dijana dengan telus dan saksama. Ini jika dilakukan akan menjadikan BN bukan lagi dilihat parti elit, malah kembali sebagai parti 'marhain' yang dapat turut disertai pelbagai latar belakang kepemimpinan.


Jika diimbau bentuk pengundian yang berlaku pada 8 Mac lalu, maka pastinya kita akan dapat mengenalpasti bahawa wujud peralihan besar-besaran undi di kalangan kaum Cina dan India di negara ini. Kaum Cina dan juga India yang mendiami kawasan pekan, bandar dan juga bandar raya seolah-olah membina blok undi tersendiri dengan mengadakan protes undi besar-besaran terhadap BN.


Mereka ini beralih kepada pembangkang, termasuk kesanggupan mereka memberi undi kepada bukan saja DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR), malah juga kepada Pas yang sebelum ini mereka takuti dengan slogan negara Islam.


Inilah polarisasi undi yang harus diberikan penekanan oleh BN terutama menerusi Gerakan dan MCA sebagai parti 'kaum bandar' iaitu terdiri majoritinya masyarakat Cina. Berbanding kawasan luar bandar, yang ada antaranya masih belum lengkap segala kemudahan, serta susah pula mendapatkan peruntukan berbanding kawasan bandar, mereka yang rata-ratanya pengundi Melayu, walaupun mempunyai perubahan corak pengundian, masih menaruh keyakinan terhadap BN menerusi Umno.


Parti komponen lain di Semenanjung kelihatan gagal mempertahankan kerusi masing-masing di kawasan bandar dan juga luar bandar.


Jika diimbau dari segi kekuatan Kerajaan Persekutuan masa kini, daripada 140 kerusi yang dimenangi, Umno berjaya memberikan jumlah kerusi terbesar dan dominan dengan 79 kerusi berbanding 15 (MCA), 3 (MIC) dan dua dari Gerakan serta kelebihan 41 kerusi Parlimen yang disumbangkan komponen selain Umno di Sabah dan Sarawak.


Tanpa sokongan kuat pengundi Sabah dan Sarawak terhadap BN, pastinya BN berdepan masalah besar untuk tidak lagi mampu menjadi pemerintah di negara ini. Di Semenanjung, BN hanya mampu mendapat 86 kerusi daripada keseluruhan 166.


Selebihnya, iaitu 79 kerusi adalah di bawah pengaruh DAP, PKR dan Pas. Umno di Semenanjung saja menyumbangkan 66 daripada 86 kerusi yang dimenangi BN. Ini bermakna hanya 20 kerusi berjaya disumbangkan oleh MCA, MIC dan Gerakan.


Peralihan undi kali ini adalah terbesar dalam sejarah pilihan raya negara, dan ia ibarat 'tsunami' yang jauh lebih teruk berbanding impak pergolakan politik 1999 yang turut dibadai kesan ekonomi serantau.


Pilihan raya kecil bagi kawasan Parlimen Pensiangan di Sabah yang mungkin bakal dilalui BN, harus dijadikan medan bagi menunjukkan semangat setia kawan yang terjalin selama ini. BN harus terus menang di kawasan itu bagi memberi keyakinan kepada konsep gabungan tertua negara yang kini cuba diciplak pembangkang dengan cubaan membentuk pakatan seumpama itu.


Dalam melakukan tranformasi, BN harus sedar akan cita rasa pengundi muda yang kelihatan begitu cenderung ke arah pakatan pembangkang. Dengan ramainya pengundi generasi pasca merdeka yang kini sudah berusia 50 tahun dan ke bawah, serta memiliki keluarga sendiri dilihat cenderung membina satu persepsi yang jauh berbeza daripada perjuangan generasi pengundi veteran.


Generasi warga emas dalam Kabinet dan kepemimpinan parti adalah perlu, namun generasi usia muda serta pertengahan umur juga perlu dimantapkan.





Penulis ialah Pensyarah di Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia





Sepatutnya BN juga mempertimbangkan sejak awal lagi supaya jawatan Kabinet dan pentadbiran kerajaan diperuntukkan sebahagiannya untuk mereka yang berumur 20-an hingga 30-an.


Fakta menunjukkan bahawa polarisasi pengundi generasi pasca merdeka, yakni pada awal usia mengundi (21 tahun dan ke atas) yang berjumlah jutaan orang, masakan tidak mempunyai potensi yang mampu memikul tanggungjawab itu.


Sejarah memperlihatkan bahawa menteri kabinet dan pemimpin masa kini juga adalah pejuang di usia awal mengundi dulu, dan lebih meyakinkan, mereka tidak gagal, dan menunjukkan kejayaan dalam mentadbir parti dan juga negara.


Cuma kini, mereka harus sedar bahawa generasi dan zaman sudah berubah dan perubahan kini dituntut oleh rakyat secara besar-besaran.


Selain itu juga, timbalan menteri dan Setiausaha Parlimen di sesuatu kementerian seharusnya juga datang dari kalangan generasi pasca merdeka agar mereka mampu mempersiapkan diri ke arah meneruskan agenda negara pada masa akan datang.


Suatu perubahan yang bukan kecil tetapi meluas harus digerakkan segera bagi menyeimbangi kembali ketuanan yang semakin hilang. BN perlu bermuhasabah diri dalam memastikan mereka diterima seterusnya oleh rakyat dan generasi masa depan negara.



0 ulasan:





Arkit blog