Ahad, Oktober 26, 2008

Perbetulkan fakta sejarah Melayu

ARKIB : 17/10/2008

Perbetulkan fakta sejarah Melayu

Oleh Ahmad Khalib Md. Ibrahim

Fakta sejarah yang menyamakan orang Melayu sebagai kaum pendatang dari Nusantara ke bumi Malaysia seperti juga orang Cina dari tanah besar China dan orang India dari benua India perlu diperbetulkan.

Kenyataan sebenarnya mengenai Melayu sepatutnya ialah: Melayu itu berasal dari Nusantara.

Negeri-negeri seperti Tanah Melayu, Patani, Indonesia, Kalimantan, Sulawesi, Brunei, Mindanao, Palawan, Riau dan Singapura adalah sebahagian daripada Nusantara.

Melayu penduduk asal Nusantara.

Pada asalnya mereka semua Melayu dan bertutur bahasa Melayu yang berpaksi pada bahasa Melayu Nusantara. Mereka mungkin bercakap dalam dialek Jawa, Tagalog, Bugis, Minangkabau, Aceh, Banjar dan banyak dialek lagi. Seperti orang Cina menggunakan dialek Hakka, Hokkien, Taucho tetapi mereka tetap berbahasa Cina.

Melayu yang berhijrah dari satu kawasan ke kawasan lain dalam lingkungan alam Nusantara. Di mana juga mereka berada, mereka mengamalkan kebudayaan yang berakar umbi dari negeri-negeri alam Nusantara. Mereka berinteraksi dalam bahasa Melayu Nusantara.

Kajian arkeologi membuktikan orang Melayu sebagai penduduk asal Nusantara termasuk di Malaysia.

Bahan bukti artifak arkeologi dari kawasan perkuburan, bahan budaya dan kesenian menunjukkan ia dimiliki orang Melayu.

Kajian antropologi menunjukkan persamaan struktur atau hampir sama keseluruhan penduduk asal Nusantara. Struktur Melayu sangat berbeza dengan orang Cina dan orang India.

Kebudayaan

Di Malaysia, Melayu itu mesti berasal dari Nusantara, beragama Islam dan berbahasa Melayu. Melayu itu pengamal kebudayaan dan adat istiadat Melayu yang berpaksi dari Nusantara. Kebudayaan dan istiadat Melayu termasuklah istiadat keagamaan dan istiadat menjunjung duli. Sultan dan raja-raja Melayu adalah pemegang kuasa adat istiadat Melayu di Malaysia.

Kedatangan bangsa Melayu atau perpindahan orang Melayu dari pulau-pulau persekitaran Nusantara adalah ibarat perpindahan dalam perkampungan sendiri.

Perpindahan orang Cina dan orang India ke Malaysia adalah akibat desakan ekonomi. Mereka terpaksa atau dipaksa ke mari kerana kepentingan ekonomi.

Orang Melayu adalah pribumi Malaysia.

Perjuangan mereka mempertahan Malaysia bukan baru. Orang Melayu di Malaysia telah mempertahankan negara ini sejak lebih lima ratus tahun lalu. Mereka mempertahankan Malaysia daripada serangan Siam sejak zaman kesultanan Melaka.

Orang Melayu mempertahankan Melaka. Pada tahun 1511, Melaka adalah sebuah empayar yang menguasai keseluruhan Tanah Melayu termasuk sebahagian Sumatera. Sultan Melaka, Sultan Mahmud Shah mempertahankan Melaka daripada serangan Portugis.

Orang Melayu juga bangun menentang Inggeris yang menjajah satu persatu negeri-negeri di Tanah Melayu. Ingatlah dan kita jangan lupa perjuangan Datuk Maharaja Lela di Perak, Penghulu Dol Said Pahlawan Naning, Datuk Kelana di Negeri Sembilan, Datuk Bahaman di Pahang, pahlawan Mat Salleh di Sabah, Tok Janggut dari Pasir Putih, dan Datuk Abdul Rahman Limbong dari Terengganu.

Mereka hanyalah sebahagian daripada orang Melayu yang berjuang mempertahankan kedaulatan Tanah Melayu.

Sedingin Salju  berkata: Semoga kita semua akan lebih memahami sejarah Malaysia ini.

2 ulasan:

Pewaris Melayu berkata...

kan bagus jika semua rakyat malaysia sebangsa dengan saudara dan bangsa bukan melayu yang lain seperti saudara, begitu profesional.

Tai berkata...

Ini adalah kerana, mereka buta sejarah. Mereka hanya suka bercampur dengan yang sebangsa sahaja. Apabila telah buta sejarah, mereka telah menjadi begitu berani meminta itu dan ini.





Arkit blog