Selasa, November 25, 2008

Hanya 500 dapat kerja

Hanya 500 dapat kerja
Oleh Rosmaliana Aida Mohd Adnan
rosmaliana@hmetro.com.my


KUALA LUMPUR: Hanya 500 daripada 9,000 golongan cacat penglihatan yang
berdaftar di Jabatan Tenaga Kerja diambil bekerja dalam sektor swasta kerana
majikan tidak yakin kemampuan mereka.

Penasihat Pertubuhan Orang Cacat Penglihatan Malaysia (MAB), Dr Wong Huey
Siew, 39, berkata, walaupun hakikat itu perit diakui, tetapi terdapat
majikan tidak mengetahui cara berurusan dengan golongan terbabit.

Beliau yang juga pensyarah bahagian sosiologi, psikologi dan moral di sebuah
universiti swasta berkata, majikan beranggapan golongan ini tidak mampu
memberikan komitmen terhadap tugas seperti orang lain.

"Tidak dapat dinafikan, kami tidak boleh melihat tapi ini tidak bermakna
pergerakan kami terbatas dan mengharapkan simpati orang lain untuk hidup,"
katanya.

Menurutnya, jika dipanggil ditemuduga ada cara tertentu boleh digunakan
bersesuaian untuk mereka yang cacat penglihatan.

"Untuk itu, pendekatan lisan adalah lebih bersesuaian memandangkan golongan
ini tidak boleh melihat tapi boleh mendengar serta bercakap.

"Jangan bersikap diskriminasi dengan memandang rendah terhadap keupayaan
kami kerana ia tidak adil," katanya ketika ditemui di pejabat MAB di sini,
semalam.

Wong berkata, kini terdapat pelbagai teknologi yang mampu membantu OKU cacat
penglihatan bekerja, malah melayari Internet.

"Majikan boleh menambah perisian Jaws menggunakan suara memberi arahan
kepada penggunanya menaip perkataan serta melayari laman web berkaitan.

"Malah, telefon bimbit juga mempunyai perisian sama yang mana membolehkan
kami menggunakannya seperti orang normal.

"Oleh itu diharapkan setiap majikan memberi peluang kepada OKU seperti kami
untuk turut sama merasai bidang kerja bersesuaian dengan tahap pendidikan
yang ada," katanya.

0 ulasan:





Arkit blog