Selasa, November 25, 2008

Usah malu dikurnia anak OKU

Artikal akhbar.


Usah malu dikurnia anak OKU


PETALING JAYA: "Jangan sesekali malu jika memiliki anak istimewa sebaliknya
berani tampil ke depan mencari bantuan bagi membolehkan mereka belajar cara
berdikari.

"Ini bukan penamat tapi satu permulaan memberi kehidupan yang lebih baik
memandangkan mereka tidak mampu menguruskan diri sendiri," kata Evelyn Chan.

Beliau yang memiliki anak terencat akal berkata, kehadiran cahaya mata itu
menjadikannya sentiasa berfikiran positif dan mahukan perkara terbaik untuk
anaknya itu.

Menurutnya, sejak anaknya berusia 18 bulan lagi dia bangkit mencari bantuan
sewajarnya bagi memastikan satu hari nanti anaknya boleh menguruskan diri
tanpa bantuannya.

Kini, selepas 26 tahun akhirnya ketekunannya menjalankan terapi anaknya,
Gerald Chan, membuahkan hasil walaupun hanya sedikit tapi sekurang-kurangnya
dia boleh berjalan sendiri tanpa bantuan.

"Satu masa nanti saya takkan mampu lagi mengangkatnya dan dia takkan terlalu
mengharapkan saya dalam semua perkara," katanya ketika ditemui pada sidang
media di Karnival Amal Pusat Latihan Kanak-Kanak Istimewa di sini, semalam.

Sementara itu, Timbalan Presiden Pertubuhan Orang Terencat Akal Selangor dan
Wilayah Persekutuan (SSMH), Fadillah Yakin, berkata cabaran terbesar
dihadapi adalah daripada ibu bapa sendiri.

Beliau berkata, tidak dapat dinafikan kebanyakannya malu mengakui bahawa
mereka memiliki anak istimewa dan memilih berdiam diri dan menyembunyikan
hakikat itu daripada pengetahuan umum.

"Tindakan itu salah kerana ia menjadikan anak istimewa terlalu bergantung
pada ibu bapa bagi melakukan semua perkara," katanya.

Fadillah berkata, kutipan dana RM87,000 berjaya dipungut melalui karnival
itu dan kebanyakannya diperoleh daripada syarikat besar tempatan yang
sentiasa menyokong aktiviti amal.

0 ulasan:





Arkit blog