Sabtu, September 19, 2009

Kuasai bacaan Al-Quran dengan Braille Islamik

 



Oleh ZUARIDA MOHYIN

BRAILLE ISLAMIK

JARI-JEMARINYA lincah menyentuh titik-titik halus pada helaian buku putih itu, sambil mulutnya berkumat-kamitterselit juga keazaman yang akhirnya menatijahkan keunikan si empunya suara.

sebelum meluncur laju ayat-ayat suci al-Quran dilafazkan.

Sesiapa yang mendengarnya pasti tidak menyangka di sebalik kelunakan suara itu, terhimpun pelbagai kepayahan serta terselit juga keazaman yang akhirnya menatijahkan keunikan si empunya suara.

Begitulah secebis kisah kehidupan gadis berkulit putih melepak yang berasal dari Pendang, Kedah, Norhidayah Abd. Halim yang kehilangan deria penglihatan sejak dilahirkan, kira-kira 21 tahun dahulu.

Kalau orang lain hadir di dunia ini dengan ditemani pelbagai warna-warni kehidupan, namun bagi Norhidayah, beliau mempelajari erti kehidupan dalam dunia yang serba kegelapan.

Pun begitu, cacat penglihatan tidak bererti dibelenggu kegelapan, apa lagi untuk merintih atas takdir ilahi. Kekurangan itu diterimanya dengan reda kerana meyakini bahawa setiap sesuatu yang Allah takdirkan itu, mempunyai hikmah.

Malah atas kepercayaan bahawa setiap yang tersurat dan tersirat itu adalah rahsia Allah, ia sentiasa dijadikan pegangan hidup Norhidayah. Sekali gus pemangkin semangatnya untuk terus cekal mengharungi kehidupan, waima dengan cara yang berbeza.

Norhidayah, mula bergelar pelatih Kursus Pembantu Tadbir Sistem Maklumat, Pusat Latihan Gurney di Persatuan Bagi Orang Buta Malaysia (MAB) sejak 5 Januari lalu.

Kebiasaannya, para pelatih di situ perlu mengikuti program pemulihan (rehabilitation) tetapi dalam kesnya yang dilahirkan buta serta pernah menerima pendidikan di Sekolah Pendidikan Khas Alma, Bukit Mertajam, Pulau Pinang, maka program sebegini tidak perlu lagi diikuti.

"Sepanjang hampir dua semester menerima latihan di Kompleks MAB ini, banyak yang saya pelajari terutamanya berkaitan dengan bidang khusus seperti; selok-belok tugas-tugas perkeranian, 'mencelikkan' saya dengan pengetahuan teknologi maklumat (IT), belajar tugasan pengendalian kerja-kerja di pejabat serta membuat surat-surat rasmi dan banyak lagi.

"Di sini, pelatih Islam diwajibkan mengikuti kelas al-Quran dan Fardu Ain. Sungguhpun saya mula belajar al-Quran sejak di darjah dua iaitu semasa menerima pendidikan khas di Bukit Mertajam. Pada masa itu, saya belajar asas sahaja tetapi di dalam kelas ini apa yang dipelajari, jauh lebih mendalam. Maksudnya, berpeluang belajar hukum tajwid," terang anak ketiga daripada empat adik-beradik ini, pagi itu.

Ketenangan

Ramadan kali ini kata Norhidayah yang hampir menamatkan pengajian al-Quran, selain tidak melepaskan peluang menyertai tadarus al-Quran, beliau juga mengambil bahagian dalam apa sahaja program penganjuran Persatuan Pelatih Islam (PPI) seperti tazkirah, bacaan Yasin dan Qiamullail.

Berhasrat mencari kerja dan memperoleh pendapatan sendiri apabila tamat kursus kelak, Norhidayah berulangkali menyuarakan keseronokan dan kepuasan apabila mampu menguasai bacaan, tajwid serta penghayatan menerusi surah-surah yang dibaca.

"Apabila apa yang kita pelajari dan baca itu difahami maksudnya, secara tidak langsung ia melahirkan satu perasaan yang berbeza kerana kita baca dengan kefahaman dan penghayatan, bukan sekadar membaca begitu sahaja.

"Malah al-Quran ini apabila kita sentiasa membacanya, ketenangan itu akan datang sekali. Sebab itulah, walau sudah tamat belajar di sini, saya akan cuba meneruskan pembelajaran agar ia tidak hilang begitu sahaja," janji Norhidayah kepada dirinya sendiri.

Sementara itu, Muhammad Shahril Azrie Zainudin, 24, yang juga mengambil kursus serupa Norhidayah, kini di dalam peringkat pertengahan dalam kelas al-Quran.

Menceritakan pengalaman belajar al-Quran menggunakan Braille, Muhammad Shahril yang berasal dari Parit Buntar, Perak mengakui agak sukar kerana belum pernah menerima didikan sedemikian.

"Pada peringkat awal dulu, saya terpaksa mempelajari huruf-huruf hijaiyah, diikuti melancarkan baris-baris bacaan serta banyak membuat latih tubi surah-surah tertentu menggunakan mesin Braille.

"Sungguhpun hanya terdapat enam titik pada kotak Braille, namun ia memerlukan tumpuan dan kepekaan yang jitu bagi mengenali huruf Alif hinggalah ke Ya.

"Jadi, tempoh penguasaan seseorang itu bergantung sejauhmana kepekaan sentuhan jari-jemarinya kepada titik-titik braille tersebut. Namun, kalau hendak seribu daya, kalau tidak hendak seribu dalih...," terang Muhammad Shahril yang hilang deria penglihatan pada 2006 akibat penyakit yang menyerang kedua-dua belah matanya.

Kini Muhammad Shahril mampu tersenyum puas kerana mampu membaca al-Quran bukan sahaja lancar tetapi berserta tajwid. Beliau berazam untuk khatam al-Quran kalau tidak pada bulan Ramadan ini, akan dipastikan terlaksana pada penghujung tahun ini.

Teman sekelasnya, Mohd. Afifuddin Mohammad Sabri, 23, turut mengakui kelancarannya agak terbatas terutamanya pada peringkat awal, disebabkan kesukarannya merasai titik-titik Braille yang membentuk huruf-huruf hijaiyah.

Tambah pelatih kursus Pembantu Tadbir Sistem Maklumat ini, dia terpaksa mengikuti program pemulihan selama lima bulan ketika mula-mula memasuki Kompleks MAB.

Meskipun kehilangan penglihatan Mohd. Afifuddin adalah berkaitan genetik malah ada di antara adiknya yang lebih dahulu disahkan iaitu pada usianya 14 tahun, namun apabila disahkan oleh doktor yang dirinya juga akan mengalami masalah yang serupa, beliau mengakui ia sesuatu yang sukar diterima olehnya.

Apa tidaknya, selepas 21 tahun celik, kini terpaksa menerima hakikat yang penglihatannya kabur sedikit demi sedikit sebelum gelap-gelita. Ditambah pula, sensitiviti masyarakat terhadap orang buta masih kurang.

"Kami adik-beradik semuanya dilahirkan normal tetapi apabila meningkat dewasa risiko untuk menjadi buta adalah besar.

Bersyukur

"Agak lama juga saya hendak membiasakan diri dengan cara hidup insan yang hilang penglihatan. Sekarang ini pun walaupun mata saya nampak macam orang normal tetapi sebenarnya pandangan saya sudah mula kabur," jelasnya.

Mohd. Afifuddin berkata, program rehab (pemulihan) banyak membantunya membuat persediaan dan penyesuaian diri.

"Pada awalnya agak tertekan tetapi apabila melihat kawan-kawan yang lain, saya dikira masih beruntung kerana ada yang lebih teruk masalah mereka.

"Dari situ timbul rasa bersyukur kerana ada orang yang jauh lebih bermasalah. Saya selalu tanamkan dalam diri dan sentiasa berdoa kepada Allah SWT agar diberi ketabahan dan sentiasa bersedia dengan apa yang mendatang," ujar anak muda kelahiran Setapak, Kuala Lumpur ini.

Menceritakan pengalamannya dalam kelas al-Quran, kata Mohd. Afifuddin, dia berterima kasih kepada ibu bapanya yang banyak memberi tunjuk ajar dan ketika di kelas banyak dibantu oleh guru (ustaz).

"Awal-awal memang susah, lebih-lebih lagi jari saya kurang sensitif dengan titik-titik Braille. Pernah rasa putus asa kerana sukar nak dapat rasa dan rasa macam sama sahaja.

"Mungkin kalau orang tengok, cuma ada enam titik mereka kata senang, tetapi hendak menentukan kedudukan titik tulah yang masalahnya. Kalau tekan kuat sangat pula, ia tidak berapa disarankan kerana boleh menyebabkan titik-titiknya termasuk ke dalam. Nanti timbul masalah di kemudian hari pula.

"Alhamdulillah, semua ini dapat diatasi dan pada tahun ini, Ramadan saya tambah bermakna kerana dapat menyertai kumpulan tadarus. Saya juga berazam dapat khatam al-Quran tahun ini," jelas Mohd. Afifuddin selepas sesi fotografi itu.

Pelatih kelas sama, Norfadilah Abdullah, 21, mengakui agak sukar belajar al-Quran menggunakan Braille tetapi menyedari ia satu pengalaman baru, menyebabkannya teruja untuk menguasainya.

"Saya di dalam kelas ini pun baru peringkat asas iaitu belajar mengenal huruf dan baru masuk bab baris-baris bacaan sebelum beralih membuat latihan menggunakan mesin Braille," kata gadis yang berasal dari Kelantan ini..

Gadis ramah ini yang mula mengikuti kursus di situ pada Julai lalu, menjelaskan dia kehilangan pandangan akibat mengalami sejenis penyakit iaitu glaukoma.

Norfadilah hanya sempat menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sebelum bergelar pelatih di Kompleks MAB atas bantuan sepupu yang juga merupakan tenaga pengajar sekolah pendidikan khas.

Sebaik tamat pengajiannya, anak ketujuh daripada lapan adik-beradik ini merancang memilih kursus Pembantu Tadbir Sistem Maklumat dan kemudian akan menyambung pengajiannya di maktab perguruan bagi merealisasikan cita-citanya bergelar pendidik.

0 ulasan:





Arkit blog